ppkmbnj Tuesday, April 20, 2010

USUL-USUL AHLI JAWATANKUASA PPKM BATU PAHAT

Pertama:

Akhir-akhir ini jelas kelihatan dan kedapatan kebanyakan pelajar Melayu di sekolah menengah sama ada lelaki atau perempuan sudah berani menunjukkan perilaku menghisap rokok di khalayak ramai tanpa perasaan hormat dan segan silu terhadap guru dan masyarakat. Kegiatan tidak sopan sebegini kalau dibiarkan berlaku dikhuatiri akan mengundang perbuatan salah laku yang lebih buruk seperti penyalahgunaan dadah, minum arak, rogol, perkosina, pembuangan bayi dan seumpamanya di kalangan pelajar dapat dibendung segera. AJK PPKM Cawangan Batu Pahat mencadangkan satu pendekatan secara holistic perlu diambil serta merta, pertama sekali peranan ibubapa amat penting untuk memastikan anak-anak mereka yang masih di bangku sekolah tidak terlibat menghisap rokok, kedua pengawasan, teguran, nasihat dan tindakan wajar secara berterusan daripada semua warga sekolah terhadap pelajar terlibat perlu diperhebatkan lagi dan ketiga penguatkuasaan tegas pengharaman penjualan rokok di kalangan pelajar perlu dilaksanakan dan keempat PPKM Batu Pahat mencadangkan kalau boleh supaya negara kita memansuhkan terus pengimportan dan penyeludupan rokok ke negara kita.

Kedua:

Penjualan Tanah Pemilik Melayu .
Kebelakangan ini terdapat ramai orang Melayu yang menjual tanah milik mereka kepada kaum lain apabila ditawarkan dengan harga yang tinggi. Tanah merupakan aset atau harta kekal yang perlu diwarisi, dipertahankan dan diusahakan secara komersial dengan bijak oleh orang Melayu. Manakala wang berjuta-juta ringgit tidak kekal dan boleh habis dalam sekejap masa sahaja apabila didorong oleh nafsu dan tabiat suka berbelanja besar, menunjukkan kepura-puraaan kemewahan hidup, tidak bijak mengurus wang disebabkan jahil ilmu pengetahuan khususnya ilmu yang berkaitan dengan pengurusan kewangan dan ekonomi. PPKM Cawangan Batu Pahat mencadangkan supaya pemilik-pemilik tanah di kalangan orang Melayu perlu segera diberi kesedaran, nasihat, bimbingan kaunseling, motivasi, ilmu pengetahuan dan pendedahan peluang mengusahakan tanah mereka secara berpontensi tinggi supaya mereka dapat mengusahakan tanah milik mereka masing-masing daripada terbiar dan akhirnya dijual dengan tawaran harga yang begitu tinggi. Badan-badan yang bertanggungjawab ini termasuklah tuan-tuan imam, penceramah agama, JKKK, Penghulu, Pejabat Tanah, Penolong Pegawai Daerah, Pegawai Daerah, Wakil Rakyat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO’s) seperti PPKM, Persatuan Peladang dan Pertanian, Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil, Persatuan Guru, Persatuan Belia dan sebagainya dengan mengadakan “road show” secara global dari semasa ke semasa bagi membangkitkan kesedaran dan keinsafan mendalam di kalangan orang-orang Melayu supaya tanah-tanah milik mereka kekal hingga ke anak cucu mereka. Ingatlah supaya kita jangan jadi Pak Kadok/Lebai Malang/Si Luncai yang asyik menang sorak, kampong tergadai.

(HJ JUMAAT BIN ABU BAKAR)
Setiausaha PPKM Batu Pahat
24 April 2010

No comments:

Post a Comment